Wednesday, August 19, 2009

Berkongsi pengalaman Keith di Palawan


Ketika menghadiri Bengkel pertanian alami di Sara Buri Julai lalu, saya berpeluang menjalin hubungan (networking) dengan para peserta yang datang dari beberapa buah negara lain. Antara teman yang memiliki banyak ilmu dan pengalaman di bidang pertanian alami ialah Mr Keith O Mikkelson dari Filipina. Beliau berasal dari Wisconsin USA tetapi telah berhijrah ke Filipina dan menetap di Palawan. Bersama isterinya Narcy, asal Filipina, mereka mendirikan Rumah Aloha, rumah anak-anak yatim. Selama empat hari di Sara Buri Centre, Keith banyak mengungkap pengalamannya mengamalkan pertanian alami dengan teknologi EM kepada para peserta.



Ketika di bengkel, Keith membuat persembahan slaid yang menarik, berkongsi pengalamannya membangunkan Aloha House berasaskan pertanian alami. Beliau juga turut membawa beberapa naskah bukunya yang bertajuk A nature Farming System Sustainable Agriculture In he Tropic. Buku ini memuatkan maklumat latihan yang diberikan kepada peserta kursus yang diadakan di Palawan.

Kesempatan berbincang dengan Keith dan Narcy di coffe house hotel ketika sarapan pagi 25 Julai sangat bermakna. Dalam suasana santai dan selesa, kami berbincang bagaimana berkongsi maklumat dan pengalaman. Saya bercadang menggunakan sebahagian pengalaman Keith di Palawan untuk diterapkan di Malaysia. Memandangkan keadaan bumi dan persekitaran yang hampir sama, pengalaman di Palawan berpotensi untuk digunapakai di Malaysia juga. Malahan Keith begitu gembira andai khidmatnya dapat dimanfaatkan untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat di Malaysia. Saya sendiri merancang untuk membawa Keith ke sini bagi berkongsi ilmunya.

Keith adalah seorang jurutera yang meminati sukan. Menjadi tenaga pengajar ski dan papan luncur air. Pada tahun 1995 beliau melakukan kerja amal gereja yang membawanya ke Filipina. Beliau mengahwini Narcy dan kini mempunyai seorang anak. Mereka membina Aloha House, sebuah penempatan anak yatim. Beliau mengamalkan pertanian alami sebagai sumber penghasilan makanan untuk menyediakan sajian yang berzat kepada anak-anak terbiar di Palawan. Dengan niat mulia, mereka bekerja membina penempatan Alohha sehingga akhirnya ia boleh berdikari dengan menghasilkan makanan bermutu. Dengan keluasan sederhana beberapa ekar sahaja, Keith membangunkan aktiviti pertanian secara integrasi. Selain menanam sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, mereka juga menternak lembu, kambing, ayam dam khinzir. Mereka menghasilkan baja organik daripada sisa-sisa pertanian dan juga membuat baja cacing (vermicompost). Mereka menggunakan segala sumber yang terhad dan bahan terbuang. Sebagai seorang jurutera mekanikal, Keith menggunakan apa sahaja sumber terbuang untuk merekecipta peralatan mekanikal sederhana yang dapat digunakan dalam aktiviti pertaniannya.

(Keith mengendalikan kursus kepada penduduk tempatan)

Daripada bukunya, daripada ceritanya, dapatlah dibayangkan bagaimana Keith dan isterinya telah berjaya menghayati konsep pertanian alami yang sungguh holistik. Dalam waktu yang sama mereka telah menyumbang membangunkan kehidupan sebahagian masyarakat miskin dan kekurangan makanan bermutu di Palawan. Saya melihat keihlasan dan kesungguhan mereka menjalankan kerja-kerja amal ini adalah diasaskan oleh kepercayaan agama mereka serta penghyatan falsafah 'kembali ke alami' atau back to nature. Mereka tidak berteori tetapi menghayatinya, dengan sepenuh hati, dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi.

Keith begitu yakin bahawa kita dapat menghasilkan makanan bermutu (organik) dan berkhasiat sekiranya kita kembali kepada amalan pertanian alami, menggunakan sepenuh teknologi EM. Pada beliau, tanah atau bumi adalah sumber utama, yang perlu diperbaiki jika tidak subur, perlu diolah komposisinya supaya ia kembali subur. Penggunaan segala sumber alam termasuk sisa-sisa pertanian, ternakan adalah satu cara melakukan proses kitaran semula di samping menghindari pencemaran alam.

Apa yang dilakukan oleh Keith bukanlah suatu yang luar biasa. Namun usaha kembali ke alami serta menjalani satu kehidupan sederhana tetapi penuh makna, adalah suatu yang sukar dilakukan. Hari ini kemajuan di bidang teknologi boleh menjadikan seseorang berjaya di bidang pertanian. Sebagai seorang Amerika, semua kemajuan itu adalah hal biasa baginya kerana pertanian di sana sudah amat maju. Pada Keith dan mereka yang mencari erti sebenar alami, tidak akan terpesona dengan semua kemajuan itu sekiranya kesannya kepada kehidupan manusia dan alam adalah negatif. Penggunaan kimia, racun dan GMO tidaklah bersifat alami. Oleh itu memilih kembali ke alami adalah satu-satunya cara untuk kembali menghargai sistem alam atau sunnatulLah yang telah diaturkan Tuhan begitu sempurna melalui jaringan ekositem alam ini.

(pekerja Keith di ladang sekitar rumah Aloha)

Rencana sumbangan Afifi Ahmad dari Blognya: zidniiman.blogspot.com