Saturday, June 27, 2009

Organik, kekayaan di tepi rumah.


Kehidupan di alam ini saling berkongsi sumber dan melalui perkongsian itu, setiap makhluk meneruskan kelangsungan hayat masing-masing. Begitulah tertib dan teraturnya SunnatulLah, terangkum dalam apa yang kita kenali sebagai ekosistem alam. Sejak terciptanya alam, jutaan tahun lalu hinggalah ke hari ini sistem itu atau SunnatulLah itu tidak sekali-kali berubah. Malangnya apabila manusia cuba mengubahnya, maka keharmonian sistem itu mula terganggu. Gangguan kepada ekosistem akhirnya memberi kesan buruk kepada alam dan berakhir kepada kehidupan manusia juga.

Suatu waktu dahulu sistem pertanian kita dapat berjalan dengan baik kerana bekalan air mencukupi. Walaupun di musim kemarau, bekalan air kita masih ada kerana hutan hijau kita adalah sumber pembekal air yang yang boleh diyakini. Malangnya apabila manusia tamak, menebang hutan hijau untuk mendapat hasil balak, akhirnya kita berdepan dengan masalah bekalan air yang berkurangan. Banyaklah sawah-sawah di kampung kering kontang tidak dapat ditanam padi lagi. Sungai dan anak air mengecil dan kekeringan. kalau adapun, sumber air menjadi keruh berkeladak akibat pembalakan yang tidak terkawal.

Sungguhpun sawah-sawah padi di kampung-kampung tidaklah seluas mana tetapi selama ini ia dapat diusahakan dan dapat membekalkan sumber makanan kepada orang-orang kampung. Selain mengairi sawah, air dari parit dan sungai tadi turut membekalkan ikan-ikan segar yang menjadi lauk-pauk penduduk kampung. Hari ini agak sukar mendapatkan bekalan ikan keli, haruan, puyu atau belut kerana sawah sudah tiada lagi. Apa lagi hendak mencari emping, memang tiada lagi.

Beginilah jadinya apabila alam diabaikan. Suatu waktu kita leka dengan pembangunan kebendaan, dengan fokus kepada industri pembuatan dan teknologi ICT; sehingga kita mengabaikan pertanian. Pertanian dipandang rendah, sehingga sebuah universiti ditukarkan nama daripada pertanian kepada nama lain, demi melupakan bidang pertanian.
Sikap itu akhirnya tidak ke mana juga, bak kata orang: bagai seluang melaut, tak ke mana juga. Akhirnya kita mahu tidak mahu terpaksa kembali kepada pertanian kerana setiap hari kita perlukan makanan. Kita mempunyai tanah subur, mempunyai ilmu dan maklumat yang mencukupi, mengapa mahu bergantung kepada bekalan import untuk dapatkan bekalan makanan. Apakah orang lupa bahawa pertanian adalah sektor strategik mana-mana negara pun di dunia ini.

Zaman ini zaman biotek atau bioteknologi, di mana bidang pertanian didapati begitu rapat dengan biotek. Trend kembali kepada bio atau kepada sumber alami begitu ketara waktu ini. Konsep bio ini perlu difahami secara makro dan mikronya. Secara umumnya kesedaran untuk kembali kepada alami atau kepada organik adalah bermula daripada kesedaran sebahagian orang terhadap kesan buruk daripada aktiviti penggunaan sumber kimia berlebihan terutama dalam aktiviti pertanian dan juga dalam aktiviti pemerosesan hasil hingga membawa kepada penghasilan makanan. Teknologi pengilangan memproses produk makanan melalui sistem RBD di mana keaslian sumber sudah tiada lagi. Contohnya minyak masak menjadi dihidrasi, manakala bahan makanan diproses menggunakan bahan-bahan kimia sperti fomalin, MSG, pewarna tiruan dan sebagainya.

Selama ini kita terlalu bergantung kepada sumber makanan siap proses. Kita akhirnya kehilangan kualiti daripada makanan kita. Kerana kekurangan bekalan daging dan ikan segar, kita mendapatkan bekalan daging dan ikan import. Bahan ini bukan sahaja tidak segar tetapi telah diproses menggunakan bahan kimia, yang membahayakan manusia. Kita sukar untuk memastikan apakah bahan pangawet yang digunakan oleh pengimport, kerana proses pemeriksaan bukanlah mudah. Oleh itu cara paling berkesan, dan mampu kita lakukan ialah mengurangkan atau mengelak daripada menggunakan bahan import, dan dapatkan bekalan segar.

Alam tropika begitu berharga kepada kita, kerana ia menyediakan semua keperluan makanan yang kita perlukan. Malanngya pengaruh Barat telah banyak merobah tabiat makan orang-orang Asia termasuk kita di Malaysia. Diet orang Asia adalah diet yang paling baik dan sesuai untuk kita orang Asia. Hutan kita menganugerahkan pelbagai jenis sayuran, ulaman, rempah ratus dan juga herba-herba ubatan kepada kita. Malangnya kita selama ini alpa dan melupakan semua khazanah tropika yang ada di sekeliling kita. Kita bangga dengan produk asing, kerana ia produk luar negara. Persepsi inilah yang menjadikan kita tidak menghargai apa yang kita ada. Kita selalu berfikir tentang hujan emas selalu ada di negeri orang.

Sumber sayur-sayuran seumpama paku-pakis, semangi, pucuk ubi, pucuk janggus, umbut, rebung dan ubi-ubian mudah didapati di sekitar kita. Ianya percuma dan berkhasiat di samping lazat. Rempah ratus seperti serai, kunyit, halia, lengkuas, kaduk, pegaga, pandan, bunga kantan dan pelbagai lagi mudah tumbuh di sekitar rumah. Malangnya sikap kita yang menjadikan kita terasing daripada sumber-sumber alami yang kaya dengan khasiat organik ini. Orang kamapung pun sudah tidak lagi rajin menanam keperluan-keperluan ini kerana merasa selesa dan senang mendapatkannya di kedai.

Pokok lekir suatu waktu dulu banyak tumbuh di kampung-kampung. Siapa peduli kepadanya kerana ia hanya membekalkan buah kepada burung-burung sahaja. Tahukah anda bahawa tumbuhan sekeluarganya adalah kaya dengan glukomanan di mana ubinya menjadi bahan makanan berharga kepada orang-orang Jepun. Tepung daripada ubinya sangat mahal di pasaran. Malangnya kita tiada pengetahuan dan maklumat tentangnya, maka barang berharga di tepi tangga rumah kita pun, kita tidak tahu nilainya.

Kini kajian perubatan terutama perubatan herba telah menemui betapa banyaknya sumber herba kita yang kaya dengan khasiat perubatan. Malang lagi bagi kita kerana tiada ilmu, tiada maklumat, kita tidak tahu berapa banyak herba-herba yang tumbuh sendiri di tepi tangga rumah, di sekeliling rumah, di sekitar kampung laman kita, mempunyai nilai khasiat perubatan yang berharga. Sedarkah kita jus manggis dijual ratusan ringgit sebotol dalam pasaran, padahal pada musim buah-buahan manggis berlambak-lambak dan membusuk di bawah pokok.

Pokok pangkalnya kesedaran kita. Kesedaran kita tidak akan tercetus tanpa ilmu, tanpa pengetahuan, tanpa maklumat. InsyaAllah kami akan berusaha menyajikan pelbagai maklumat yang ada, untuk dikongsikan dengan pembaca dari masa ke semasa, agar kita sedar betapa kayanya alam di sekitar kita, dan kekayaan itu seharusnya kita manfaatkan untuk kesihatan dan kemakmuran hidup kita jua.

Gambar: ubi berharga ini menjadi buruan industri ubatan dan kosmetik. Sedarkah kita? Inilah Peureria

Rencana ini ditulis oleh Afifi Ahmad, Pengarah Hi-Bloom Worldwide Network Sdn. Bhd.

Monday, June 22, 2009

Makanan Organik


Hari ini orang mula berpaling kepada produk organik. Di Malaysia sudah bermula trend baru di mana orang mula mencari produk organik, makanan organik. Makanan organik boleh jadi dalam bentuk makanan berbungkus mahupun makanan segar. Kedai-kedai makanan organik sudah mula dibuka walaupun bilangannya masih sangat kurang. Kekurangan kedai-kedai organik ini ada kaitannya dengan kecilnya pasaran produk organik. Kecilnya saiz pasaran ini ada kaitan pula dengan bekalan yang kecil, dan boleh jadi juga disebabkan oleh permintaan yang kecil. Akibatnya harga makanan organik agak mahal berbanding dengan produk bukan organik.

Makanan organik dalam bentuk bijirin banyak yang diimport dari luar negara, terutama bijirin yang memang berasal dari luar negara. Hanya sayur-sayuran dan buah-buahan segar hasil produk tempatan yang ada dalam pasarana produk organik. Namun begitu harga pasaran produk-produk organik ini masih lagi mahal berbanding produk biasa. Oleh kerana harganya yang mahal, maka hanya orang yang benar-benar percaya kepada produk organik dan orang yang mempunayi kesedaran kesihatan yang tinggi sahaja akan menjadi pelanggan.

Orang akan bertanya, kenapa produk organik mahal? Apakah kerana susah menhghasilkan produk organik, atau kos pengeluaraannya tinggi? Mungkin semuanya betul. Namun begitu kita mengharapkan produk organik akan lebih banyak dalam pasaran, dengan itu harganya akan menurun kerana ia perlu bersaing. Di samping itu pengguna juga perlu memberikan sokongan kepada pasaran produk organik.

Selain makanan segar terutama sayur-sayuran, banyak lagi makanan lain yang boleh dihasilkan melalui kaedaah organik. Contohnya padi, ubi dan makanan asas yang lain. Kini ada pengusaha yang menghasilkan ternakan melalui kaedah organik. Apabila asemakin ramai pengusaha yang sedar untuk menghasilkan makanan baik tanaman mahupun ternakan secara organik, maka diharapkan semakin hari semakin bertambah produk organik di pasaran.

Rencana oleh: Afifi Ahmad

Saturday, June 20, 2009

Pertanian Organik, apa itu?


Akhir-akhir ini orang mula kembali mendapatkan sumber-sumber alami (semulajadi) baik dalam bentuk makanan atau perubatan. Orang mula mencari makanan daripada sumber-sumber asli atau organik. Begitu juga dalam hal bahan ubatan. Mereka mula kembali kepada sumber asli, sumber alami kerana ia bersifat organik.

Organik merujuk kepada sumber-sumber yang berasaskan alam, maka orang menyebutnya sebagai alami (semulajadi atau natural). Secara mudahnya, tumbuhan baik yang menjadi sumber makanan atau ubatan, pada asalnya adalah bersumberkan alam. Ia tumbuh, membesar dan membiak di dalam persekitaran alam semulajadi atau habitat yang organik. Lihat sahaja hutan hijau di sekeliling kita. Ia tumbuh dan berkembang secara alami tanpa perlu apa-apa input luar, dari manusia. Tiada siapapun yang membajanya, tiada siapaun yang menjaga dan merawatnya. Ia tetap tumbuh subur.

Secara alami, tumbuh-tumbuhan memperolehi sumber zat makanan atau nutrien daripada alam, iaitu dari tanah dan persekitrannya. Sumber zat nutrien dibekalkan dari dalam tanah yang sedia kaya dengan segala zat, air, mineral dan mikroorganisme yang membekalkan makanan kepada tumbuhan. Melalui cahaya matahari dan karbon dioksid, tumbuhan-tumbuhan memproses makanan melalui daun-daun hijaunya, dan proses ini dikenali sebagai fotosintisis. Tuhan telah menciptakan sistem alam melalui sunnah-Nya yang sangat sempurna. Secara alami, tumbuhan membesar, subur dan menghasilkan sumber makanan kepada manusia tanpa perlu proses membaja, menjaga dan merawatnya.

Di zaman silam orang bertani dengan mudah. Mereka membersihkan tanah, membakar sisa-sisa dari hutan seperti batang, ranting dan daunan. Mereka menanam pelbagai jenis tanaman untuk makanan. Waktu itu tiada racun, tiada baja kimia digunakan. Contohnya bagaiamana mereka bersawah. Mereka menebas dan manajak untuk membersihkan kawasan pertanian yang hendak ditanam padi. Kemudian membalik-balikkan sisa rumputan yang sudah mulai mereput. Akhirnya mereka menanam semaian anak padi. Ketika padinya membesar, mereka merumput untuk menghapuskan rumput rumpai. Waktu itu racun kimia tidak dikenali lagi.

Oleh kerana tiada racun digunakan, air dan hidupannya masih segar dan tidak tercemar. Ketika itu anak-anak ikan dapat hidup, membesar dan membekalkan bahan protein percuma kepada para petani yang bersawah. Mereka dengan mudah dapat menangkap ikan-ikan keli, haruan, puyu, limbat dan belut untuk dijadikan sajian lauk-pauk. Semuanya segar dan lazat serta berkhasiat. Hidupan air dapat hidup dalam habitat sawah padi kerana persekitarannya masih bersih dan alami. Mereka boleh mendapatkan bekalan sumber makanan daripada persekitaran tersebut.

Demikianlah secara alami alam hidup dalam sistem eko (eco system)nya. Mereka saling bergantung antara satu sama lain dan hidup dengan harmoni mengikut sunnah. Tumbuhan (padi) mendapat nutrien daripada sisa buangan binatang, manakala binatang (ikan-ikan) pula mendapatkan makanan daripada tumbuh-tumbuhan. Hubungan dua hala ini merupakan kekuatan ekosistem alam, yang telah berlangsung ribuan tahun sejak berzaman.

Malangnya hari ini teknologi kimia telah merobah sistem ini. Input pertanian moden berupa baja dan racun adalah bersumberkan bahan kimia yang begitu meluas digunakan dalam aktiviti pertanian. Masyarakat tani didedahkan kepada apa yang dikatakan pertanian moden yang bergantung dengan sumber-sumber input kimia, sehingga ia membudayakan mereka. Akhirnya mereka bergantung penuh kepada input-input kimia untuk menghasilkan produk pertanian. Baja kimia digunakan dengan begitu meluas dengan kepercayaan bahawa tanpa baja, tanaman tidak akan menghasilkan buah yang baik. Begitu juga dengan penggunaan racun. Mereka menggunakannya dengan kepercayaan bahawa rumpai dan serangga yang merosak tanaman tidak dapat dihapuskan, melainkan menggunakan racun rumpai dan juga racun serangga. Bermula dari kerja membrsihkan kawasan pertanian, racun digunakan untuk mematikan rumput rumpai dan tanaman lain. Seterusnya racun kimia digunakan lagi ketika buah-buah atau sayuran membesar untuk menghindari buah-buah dan sayuran daripda dirosakkan oleh serangga.

Berkembangan teknologi pertanian moden ini telah merobah alam. Racun dan baja kimia telah meninggalkan kesan sampingan yang merosakkan ekosistem dan juga merosakkan tanah pertanian. Tanah-tanah yang dulunya subur kini menjadi tanah mati. Tanah mati merujuk kepada sifat tanah yang tiada lagi hidupan seni seperti mikroorganisme di dalamnya. Secara alami, mikroorganisme inilah yang menyuburkan tanah dan membekal nutrien kepada tumbuhan. Racun yang digunakan untuk membunuh rumput rumpai turut membunuh mikroorganisme dan cacing tanah. Akibatnya tanah menjadi gersang dan tidak lagi bernutrien. Tanah mati memerlukan bekalan baja berterusan, kerana tumbuhan memerlukan nutrien daripadanya. Tanah sendiri tidak lagi dapat membekal nutrien, maka berterusanlah baja diperlukan. Kos membaja menjadi tinggi dan dengan itu kos pertanian juga meningkat.

Hari ini apabila kesedaran biologi semakin meningkat, orang mula memandang kepada pertanian organik. Secara umumnya konsep pertanian organik ialah kaedah pertanian yang bebas daripada penggunaan bahan kimia baik baja mahupun racun. Dalam waktu yang sama pertanian organik menggunakan sepenuhnya kaedah biologi untuk menyuburkan tanaman dan juga menghindari serangan serangga. Hari ini petani mula kembali kepada baja kompos, baja yang bersumberkan bahan daripada sisa buangan (najis) binatang dan juga sisa-sisa pereputan pertanian.

Penemuan teknologi EM yang menggunakan mikroorganisme dalam penyediaan baja organik dan juga aplikasi EM dalam aktiviti pertanian, membantu mengukuhkan kekuatan pertanian organik. Ia juga digunakan dalam pembuatan bahan anti-serangga bagi menggantikan penggunaan racun serangga. Bahan-bahan anti-serangga mengandungi sumber-sumber alami tanpa racun. Di samping itu konsep menentang serangga tidak lagi secara kimia tetapi secara biologi. Konsep kimia ialah 'membunuh' serangga, manakala konsep biologi ialah menghindarkan serangga, menghalau dan melindungi tanaman dengan cara dan kaedah biologi.

Rencana oleh: Afifi Ahmad